Kluster upacara pengebumian antara 8 kluster baharu dikesan

75

24 FEB : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan lapan lagi kluster baharu yang membabitkan negeri Johor, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Sabah

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Jalan Enam yang dilaporkan di Petaling, Selangor dikesan melalui saringan bersasar di sebuah kilang dengan 15 kes dikesan positif.

“Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Jalan Ulu Choh yang dilaporkan di Pontian Johor dan hasil saringan di sebuah kilang membabitkan 34 kes positif.

“Kluster ketiga, Kluster Perindustrian Lukut yang dilaporkan di Kota Tinggi, Johor, hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 28 kes dikesan positif,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu hasil saringan bersasar di sebuah kilang yang terletak di kawasan Perindustrian mengesan lapan kes positif yang membentuk kluster baharu keempat hari ini iaitu Kluster Jalan Dato Yunus.

Katanya lagi, Kluster Singsingon pula merupakan kluster kelima yang dikesan membabitkan majlis pengebumian di Kampung Sinsingon, Nabawan, Sabah dan 18 daripada 106 individu yang disaring disahkan positif COVID-19.

“Kluster keenam yang dikesan adalah Kluster Pasar Bidor yang dilaporkan di Batang Padang, Perak, hasil kes indeks seorang peniaga di situ dengan 25 kes dikesan positif, manakala satu lagi Kluster Lorong Bakau di Seberang Perai, Pulau Pinang selepas 50 kes positif daripada saringan bersasar pekerja sebuah kilang.

“Kluster terakhir dikenal pasti adalah Kluster Vista Hilir yang dilaporkan di Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 35 kes dikesan positif dalam kluster berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, tambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 1,103 di mana 594 kluster disahkan tamat, manakala jumlah kluster aktif pula adalah 509 kluster.

Menurutnya, lapan kluster ditamatkan hari ini iaitu Kluster Jalan Rasah, Kluster Kampung Bombalai, Kluster Kampung Paya Siput, Kluster Guntong Luar, Kluster Kota Muhibbah, Kluster Tapak Bina Cyber, Kluster Tapak Bina Pelangi, dan Kluster Jalan Mutiara.

“Sebanyak 78 kluster (daripada kluster aktif) melaporkan pertambahan kes, dan kluster tertinggi dalam pertambahan kes baharu adalah Kluster Industri Sungai Gadut (1,338 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Segambut (174 kes), dan Kluster Jalan Pelabuhan (164 kes),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.