Facebook akur bayar kandungan berita, tarik sekatan di Australia

7

24 FEB: Facebook akan menarik semula sekatan penyiaran berita dan akan membayar agensi media tempatan Australia untuk kandungan yang disiarkan di platform berkenaan.

Bendahari Australia, Josh Frydenberg dan Menteri Komunikasi, Paul Fletchermengumumkan mengenai perjanjian yang akan menyaksikan Google dan Facebook menyerahkan puluhan juta dolar ke dalam sektor berita tempatan yang sedang bergelut ketika ini.

Sebagai balasannya, firma digital Amerika Syarikat ketika ini, tidak akan dikenakan pembayaran mandatori yang lebih membebankan.

Hanya beberapa jam selepas kerjasama itu dilancarkan, Facebook mengumumkan perjanjian pertama yang dicadangkan dengan sebuah syarikat media Australia, Seven West dan dikatakan akan melakukan perjanjian komersial dengan organisasi berita tempatan lain.

Syarikat itu dijangka menggunakan kandungan itu untuk melancarkan produk berita khusus di Australia akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Facebook Australia, Will Easton mengesahkan penyiaran berita akan dipulihkan dalam suapan berita Facebook di Australia berikutan perjanjian dengan kerajaan Australia tersebut.

“Kami gembira kerana kami dapat mencapai kesepakatan dengan kerajaan Australia dan menghargai perbincangan konstruktif yang kami lakukan dengan Frydenberg dan Fletcher selama seminggu terakhir.

 “Hasil daripada perubahan ini, kami sekarang dapat berusaha untuk meningkatkan pelaburan kami dalam kewartawanan kepentingan awam dan memulihkan berita di Facebook untuk warga Australia dalam beberapa hari mendatang,” katanya.

Firma media sosial itu mencetuskan kemarahan global minggu lalu dengan menyekat berita untuk pengguna Australia sebagai protes terhadap undang-undang yang dicadangkan,

Tindakan itu juga secara tidak sengaja menyekat rangkaian laman bukan berita yang berkaitan dengan segala-galanya dari badan amal barah hingga perkhidmatan tindak balas kecemasan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.