Elak sidang parlimen jadi medan merebut kuasa

28

24 FEB : Semua ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang digesa mengambil peluang untuk kembali bersidang susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi kenyataan media memaklumkan keputusan dan titah sedemikian sudah tentu akan disambut baik oleh semua pihak.

Menurut beliau, pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa perlu diketepikan dengan memanfaatkan ruang itu untuk memberikan kepimpinan terbaik kepada masyarakat dan negara.

“Bahaskanlah secara serius serta objektif akan jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini.

“Ini adalah peluang terbaik untuk semua ahli Parlimen membukti dan mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat,” katanya.

Beliau juga secara peribadi menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda dalam hal tersebut.

“Semoga amalan demokrasi berparlimen negara ini akan terus matang dan kita semua akan mendapat manfaat yang selayaknya,” kata beliau.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda melalui Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara tersebut termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.