Demam Babi Afrika: Lesen Memburu di Sabah Dibeku

38

24 FEB: Pengeluaran lesen memburu di Sabah akan dibekukan sementara waktu sehingga makluman lanjut dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Pembekuan lesen itu susulan pengesahan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) bahawa wujudnya kes positif Demam Babi Afrika (ASF) pada bangkai babi yang telah dianalisis.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, langkah itu diambil bagi membantu mencegah penularan wabak tersebut terutamanya di ladang penternakan babi di Sabah.

AUGUSTINE

“Bagaimanapun, JHL tidak pernah mengeluarkan kenyataan dan menyarankan orang awam untuk tidak memakan daging babi.

“Sehubungan itu, JHL juga akan sedaya upaya membantu dan bekerjasama dengan JPVS bagi membendung penularan penyakit ASF kepada haiwan ternakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Augustine turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pemburuan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa.

“Sebarang aktiviti pemburuan dan penjualan hidupan liar yang menyalahi undang-undang, hendaklah dilaporkan dengan kadar segera kepada JHL,” katanya.

Semalam, JPVS mengisytiharkan wabak ASF di Pitas berikutan penemuan virus itu dalam babi yang diternak di daerah tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata, dengan pengisytiharan itu, jabatan berkenaan telah diberikan kuasa di bawah Subseksyen 45(1) Enakmen Haiwan 2015, untuk mengambil tindakan bagi mencegah penularan wabak itu.

Ini termasuk memusnahkan babi di kawasan terjejas, mengawal pergerakan babi dan penjualan produk daging babi yang berasal dari kawasan terjejas

Get real time updates directly on you device, subscribe now.