Ketahui perihal vaksin, yakin usaha kerajaan lindungi rakyat

20

24 FEB : Rakyat digesa untuk meningkatkan pengetahuan melibatkan kelebihan vaksin COVID-19 bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri, tetapi juga untuk mereka yang tersayang. 

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya amat mengharapkan agar seluruh masyarakat memberikan kerjasama dalam pengagihan vaksin itu nanti. 

“Pastinya, kerajaan juga telah mempertimbangkan segala segi sebelum mendapatkan vaksin (COVID-19) ini.

“Ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Malaysia memberikan sinar baharu dalam perjuangan negara menentang dan melandaikan pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya disuntik vaksin COVID-19 Pfizer-Biontech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, hari ini. 

Selain Perdana Menteri, turut menerima suntikan vaksin ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

Suntikan ke atas dua individu terpenting negara itu dibuat sempena pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Pertama.

Selain dua pemimpin itu, enam petugas kesihatan juga menerima suntikan vaksin iaitu Pegawai Perubatan, Dr. Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu KKM, Clement a/l Marai Francis manakala tiga jururawat iaitu, Lina, Mazirah dan Sheilla Mellisa Sikin. 

Dalam pada itu, Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi memberitahu perbekalan vaksin COVID-19 ini merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat.

Menurut beliau, sebanyak RM2.05 bilion (jumlah awal) dibelanjakan bagi mendapatkan vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.  

“Wanita UMNO juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang sentiasa tekun dan berdedikasi dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia dikala menghadapi cabaran pandemik COVID-19 

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu menentang pandemik COVID-19 ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.