Video kemalangan tular: polis tahan pemandu kereta

87

23 FEB: Seorang lelaki tempatan dipercayai memandu laju hingga menyebabkan seorang pemandu van cedera parah di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor petang semalam ditahan polis bagi membantu siasatan.

Video yang memaparkan kereta jenis Perodua Myvi dipandu laju yang merempuh sebuah van dan Proton Waja itu kemudian tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 2.40 petang.

“Pengadu seorang anggota polis kebetulan berada di tempat kejadian yang dimaklumkan oleh seorang lelaki telah berlaku kemalangan dan pemandu salah sebuah kenderaan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh orang awam.

“Tangkapan semula dilakukan ke atas suspek itu dan dia dibawa ke Balai Polis Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Azman, siasatan awal mendapati Perodua Myvi berkenaan dipandu secara melulu serta laju sehingga melanggar van yang berada di hadapan sebelum terbabas.

Katanya, mangsa yang cedera parah iaitu pemandu van dibawa ke Hospital Serdang dan kini masih berada di zon merah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.