Pertembungan UMNO, PAS, BERSATU merugikan Ummah

38

23 FEB: Pertembungan UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan hanya akan merugikan ummah dan dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik negara.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, perpecahan yang berlaku hanya akan memberi keuntungan kepada musuh, sekaligus menyebabkan kerugian kepada ketiga-tiga parti Melayu.

“Kita mesti belajar daripada PRU lepas, walaupun masuk bertanding banyak tetapi kemenangan hanya sedikit kerana berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Tiada parti akan mendapat keuntungan dan PAS, Umno dan Bersatu akan rugi jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Susah untuk kita mencapai kemenangan, sedangkan kita mempunyai peluang besar jika bersatu,” katanya, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sudah membayangkan UMNO akan bersendirian menghadapi PRU15. Malah Pengerusi Perhubungan Umno negeri tertentu tidak mahu berkompromi dengan Bersatu.

Bagaimanapun Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan Umno menafikan parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN.

Kata Hashim lagi, kemenangan mungkin boleh berlaku dengan gandingan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN), namun kekuatan makin bertambah dengan kehadiran Bersatu.

“Kita mahukan kemenangan majoriti sehingga kita boleh mengubah perlembagaan ke arah memperkasakan perundangan Islam.

“Sebab itu PAS beriya-iya menyatukan ketiga-tiga parti tersebut walaupun pada peringkat permulaan hanya dengan Umno, tetapi ke arah untuk mencapai matlamat itu perlu ajak bersama Bersatu,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap hubungan antara Umno dan Bersatu dapat diperbaiki kerana masing-masing mempunyai musuh yang sama iaitu Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya juga pendirian PAS masih sama iaitu memperkukuhkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan memperkasa hubungan dengan Bersatu melalui PN.

“Kita tidak akan berhenti mengajak Umno dan Bersatu untuk bersama, malah usaha ini tidak akan berakhir dan berterusan sehingga pilihan raya akan datang. PAS sentiasa mendoakan supaya perpaduan sekarang dapat dikekalkan dan berjalan lancar,” ujarnya.

Menurutnya semua parti dalam perikatan perlu bertolak ansur dalam soal pengagihan kerusi bagi menghadapi PRU15.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.