Pengusaha kolam ikan keli lepas buangan ke sungai didakwa

24

23 FEB: Seorang pengusaha kolam ikan keli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan bahan buangan daripada premisnya ke dalam Sungai Selangor sehingga menyebabkan susut bekalan air, Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, Tan Kim Hong, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Lelaki itu didakwa telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia di sebuah premis penternakan ikan keli di Serendah, Hulu Selangor, dekat sini, pada 7 Disember 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Ray,  Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zulfahami Abu Bakar.

Nurul Mardhiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula kes

Media Disember lalu melaporkan, pencemaran Sungai Selangor telah menyebabkan kira-kira lima juta pengguna air di 1,000 kawasan di Selangor terjejas selama lapan jam. Kes ini juga adalah kes pencemaran keempat sejak Januari 2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.