Pembayaran BPR Fasa 1 mulai esok – Tengku Zafrul

22

23 FEB: Pembayaran Fasa 1 Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dipercepatkan pada penghujung Februari ini daripada jadual asalnya pada bulan Mei depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran membabitkan peruntukan RM1.93 bilion itu akan dibuat secara berperingkat mulai esok bagi membantu kelangsungan hidup rakyat, khususnya buat golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan bantuan diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Pembayaran Fasa 1 BPR, 8.45 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM300 setiap penerima untuk kategori isi rumah melibatkan seramai 4.4 juta penerima. Dan RM150 setiap seorang untuk individu bujang, seramai 4.05 juta penerima,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi BPR dilanjutkan hingga 25 Februari ini, selain penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemaskini jika tiada sebarang perubahan maklumat.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu pembayaran Fasa 1 BPR dibuat kepada penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang telah diluluskan sebelum ini.

“Isi rumah dan individu bujang akan menerima bayaran yang terus dikreditkan ke akaun bank masing-masing manakala penerima tidak mempunyai akaun bank, boleh menuntut bayaran melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), bermula Khamis ini.

“Penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank pula akan menerima bayaran di lokasi akan diumumkan kelak, bersekali dengan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional Fasa Kedua (BPN 2.0), bermula 1 Mac sehingga 1 April depan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.