NGO bantah pelajar ke sekolah tanpa pakaian seragam

140

23 FEB: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) membantah cadangan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan beberapa ahli Parlimen Pembangkang, supaya murid kurang berkemampuan diberikan kelonggaran untuk ke sekolah tanpa memakai pakai seragam.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, sebagai bekas Menteri Pendidikan Maszlee sepatutnya lebih faham falsafah disebalik tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah mewajibkan murid memakai uniform ke sekolah.

Berikutan itu, NUTP kurang bersetuju dengan murid-murid sekolah diberi kelonggaran untuk ke sekolah tanpa pakaian seragam.

“KPM dan pihak sekolah mewajibkan pakaian seragam/uniform adalah kerana ia mempunyai falsafah seperti mewujudkan semangat kepunyaan, murid-murid bangga dengan sekolah yang dihadiri mereka kerana mempunyai  etos dan kejayaannya.

“Pemakaian pakaian seragam juga bertujuan memastikan bahawa semua murid adalah sama dan tiada perbezaan darjat. Jadi fokus mereka adalah pada pencapaian akademik dan pembinaan watak

“Masyarakat juga  senang mengenalpasti murid-murid sesebuah sekolah apabila mereka keluar dari pagar sekolah ataupun tidak masuk pagar sekolah kerana ponteng,” katanya ketika dihubungi PNBBC di sini hari ini.

Tan berkata demikian ketika mengulas cadangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Maszlee mendesak KPM memberikan kelonggaran bagi membolehkan murid sekolah berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya untuk tahun ini, memandangkan ada kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan semula.

Mengulas lanjut, Tan berkata pemakaian pakaian seragam juga membolehkan guru dan pihak sekolah mengajar murid mengenai isu displin kerana mereka beruniform.

Beliau berkata pakaian seragam boleh menjadikan murid lebih selamat dijalanraya kerana senang dikenalpasti oleh pengguna jalanraya yang lain.

“Harga pakaian seragam lebih berpatutan kerana ia tidak ada fesyen dan senang diperolehi.

Sekiranya ada murid yang daif atau kurang berkemampuan, mereka boleh hubungi pihak sekolah untuk bantuan dan sememangnya pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sentiasa bersedia untuk membantu.

“Sebelum ini pun , pihak sekolah dan PIBG ada memberi bantuan pakaian seragam, kasut, bag sekolah dan apa jua keperluan persekolahan,” katanya.

Manakala, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menegaskan cadangan Ahli Parlimen pembangkang supaya murid diberikan kelonggaran dengan memakai pakaian biasa ke sekolah bukan uniform adalah tidak pratikal buat masa sekarang.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata ini kerana pemakaian uniform sekolah adalah bertujuan untuk keselamatan diri murid, disiplin diri dan pembentukan adab dan identiti murid.

Katanya, jika ada ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan, khususnya dari kalangan golongan berpendapatan rendah (B40), mereka boleh berbincang dengan pentadbiran sekolah, sarana ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu keperluan pembelian pakaian/peralatan sekolah.

“Setakat ini pihak KPM telah menurunkan bantuan awal persekolahan untuk nurid yang berpandapatan bawah RM3,000 dan duit itu boleh digunakan untuk tujuan pembelian pakaian seragam sekolah.

“Pihak sekolah juga boleh memberikan kelonggaran bagi memboleh murid memakai pakaian sukan atau pendidikan jasmani ke sekolah beberapa hari seminggu kerana kos pakaian sukan lebih murah dan berpatutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan itu, Mohd Azizee berkata pihaknya yakin pihak sekolah dan ibu bapa dapat menyelesai segala isu berbangkit yang timbul menerusi pembincangan membabitkan pelbagai pihak. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.