KPWKM tambah Pembantu Pelindung Kanak-Kanak seluruh negara

21

23 FEB: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk menambah bilangan pembantu pelindung kanak-kanak di seluruh negara dengan melantik individu berkelayakan. 

Perkara itu dinyatakan KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membuat pemakluman itu dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-kanak Bil. 1 Tahun 2021 yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

JKM memaklumkan ini dilakukan demi membantu menyelamatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. 

“Jabatan Perkhidmatan Awam pada 5 Feb telah meluluskan pelantikan seramai 224 orang (fasa pertama) Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak secara kontrak.

“Pelantikan ini sebagai usaha pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan perlindungan dan pemulihan oleh JKM,” kata kementerian tersebut menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, KPWKM berkata mesyuarat itu juga membincangkan status Laporan Negara Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Kedua hingga Kelima (2008 hingga 2018) yang kini dalam tindakan mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri dan dalam pertimbangan untuk semakan semula serta penambahbaikan kepada Seksyen 29A Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mesyuarat itu adalah platform untuk ahli mesyuarat yang terdiri daripada lantikan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang kanak-kanak, kementerian serta agensi berkaitan, wakil kanak-kanak daripada Majlis Perwakilan Kanak-kanak Kebangsaan untuk membincang serta mencari solusi berkaitan golongan itu. 

“Mesyuarat sama turut membincangkan mengenai empat kertas pembentangan iaitu Kajian Semula Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257) dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253) dan Semakan Semula Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-kanak Negara,” katanya. 

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, dua kertas pembentangan lain bertajuk Status Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan ‘Child Health 2021-2023: A National Framework To Reduce The Under-Mortality And Support Growth And Development’ oleh Kementerian Kesihatan turut dilaksanakan. 

“Mesyuarat juga bersetuju Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian semula Akta Pendaftaran 1952 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952.

“Persefahaman antara semua kementerian, agensi dan individu dalam membuat keputusan melalui mesyuarat majlis ini adalah memenuhi tanggungjawab bagi memastikan aspek keselamatan, perlindungan dan pemulihan terhadap kanak-kanak dilaksanakan sewajarnya,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.