Kerajaan tak paksa Orang Asli terima vaksin Covid-19

132

23 FEB: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, menafikan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa ada pihak menjadikan Orang Asli sebagai ‘tikus makmal’ atau bahan uji kaji dengan memaksa mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata kerajaan tidak pernah memaksa mana-mana pihak termasuk Orang Asli di Malaysia untuk menerima suntikan vaksin secara paksaan.

Justeru, Ahli Parlimen Rembau itu menolak dakwaan seorang aktivis mengatakan Orang Asli menerima paksaan dan bakal dijadikan sebagai ‘tikus makmal’ adalah tidak benar sama sekali.

“Ini tidak benar sama sekali. Tidak ada sesiapa yang dipaksa untuk terima vaksin COVID-19 kerana ia dijalankan secara sukarela. Saya harap aktivis tidak menakut-nakutkan mana mana masyarakat dengan kenyataan palsu.

“Golongan orang asli tak tersenarai dalam fasa pertama melainkan doktor atau frontliners. (Jika mereka berdaftar) akan ada dalam senarai kedua dan ketiga.

“Tak timbul langsung mana mana masyarakat dipaksa, dan saya harap NGO atau aktivis jangan takutkan mana mana pihak,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Program Simulasi Pemberian Vaksin COVID-19 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Pengerusi Jaring Perkampungan Orang Asli Johor Dolah Tekoi mendakwa komuniti berkenaan bakal dijadikan penerima fasa pertama vaksin dan akan dijadikan sebagai ‘tikus makmal’ untuk melihat kadar keberkesanan dos berkenaan.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akan terus mengadakan sesi temu dengan komuniti berkenaan untuk mengelakkan sebarang penyebaran maklumat yang tidak benar.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pengerusikan secara bersama telah menerima permohonan Kementerian Pendidikan untuk memasukkan golongan guru berisiko tinggi sebagai penerima fasa pertama.

“Seramai 55,539 guru yang dikategorikan berisiko tinggi, yang mempunya co-morbidity (penyakit berjangkit). Kita akan usahakan untuk memasukan bilangan guru ini dalam fasa pertama … sebelum tarikh pembukaan sekolah kita akan usahakan,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.