Ismail Sabri Sangkal Dakwaan Keputusan SOP ‘flip flop’

50

23 FEB: Kerajaan hari ini menjawab tuduhan segelintir pihak yang mendakwa prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan secara “flip flop” sehingga menyusahkan banyak pihak.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan SOP yang dilakukan itu adalah dibuat mengikut keperluan semasa.

“Ramai keliru apabila kita buat perubahan SOP, ada yang mengatakan kita ‘flip flop’ tapi kita buat perubahan berdasarkan situasi semasa.

“Kalau ikut SOP PKP (dulu) perniagaan tidak boleh dijalankan, tapi kita tukar pendekatan untuk bantu rakyat mencari pendapatan, dengan SOP ketat.

“Kalau kita tegas dengan SOP seperti dulu, saya percaya ramai tidak mampu teruskan hidup kerana tak ada pendapatan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. 

Ismail turut menjelaskan kekeliruan berhubung perjalanan sama ada menggunakan sempadan daerah pentadbiran atau daerah polis menyebabkan ramai mengadu mereka dikompaun ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) sedangkan pergerakan dalam daerah dibenarkan.

“Sempadan daerah yang digunakan adalah sempadan daerah pentadbiran dan bukan sempadan daerah polis.

“Bagi mereka yang telah dikompaun dalam kes-kes sebegini, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah kompaun yang dikeluarkan. Saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi kekeliruan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu dua lagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Bera, Pahang dan Setiawan, Perak akan ditamatkan esok. 

Menurut beliau, dua kawasan itu membabitkan Kampung Teluk, Setiawan,  dan Felda Triang 3, Bera di Pahang. 

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 131 ujian saringan di Kampung Teluk dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif telah direkodkan.

“Walau bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi kes baharu dikesan selepas 17 Februari lalu,” katanya. 

Sementara itu, Ismail berkata, bagi Felda Triang 3, telah ditamatkan lebih awal berbanding dijadualkan akan berakhir pada 3 Mac depan. 

Sehingga kini, tambah beliau, KKM telah selesai melaksanakan 237 ujian  saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 11 kes positif telah direkodkan.

“Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.