Dapatkan surat kebenaran rentas negeri hantar anak ke asrama

1,530

23 FEB: Ibu bapa disaran mendapatkan surat kebenaran dari pihak polis bagi tujuan merentas negeri untuk menghantar anak mereka ke asrama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada halangan daripada pihak berkuasa untuk para penjaga menghantar anak mereka ke sekolah di luar kawasan daerah dan negeri, namun perlu mendapatkan kebenaran polis bagi memudahkan segala urusan.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi

“Rentas negeri dan daerah boleh dibenarkan jika mendapat kebenaran polis. Saya percaya ramai hantar anak ke asrama perlu rentas daerah negeri dan sebagainya. Kalau pekerja dan sebagainya surat majikan ada dan tak perlu dapatkan kebenaran polis.

“Saya percaya KPM, kalau belum lagi, saya akan bincang dengan KPM berkenaan surat kemasukan dari asrama atau guru yang boleh dijadikan surat kebenaran khas kepada ibu bapa hantar anak-anak mereka ke asrama di luar daerah atau luar negeri. Kita akan bicang juga dengan pihak polis supaya dibenarkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang kegusaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke asrama atau sekolah di luar daerah dan negeri memandangkan sekolah akan dibuka secara berperingkat.

Dalam pada itu, mengenai task force operasi pematuhan, Ismail memberitahu PDRM telah menahan seramai 321 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 286 individu dikompaun manakala 29 orang pula direman dan enam lagi telah dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk 75 tidak memakai pelitup muka dan 65 gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran dan pelanggan.

Selain itu, turut direkodkan ialah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (55)

, tiada penjarakan fizikal (49), aktiviti pusat hiburan (30) dan lain-lain (47), “katanya.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat tekong telah ditahan serta 11 kenderaan darat dirampas.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 128,966 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 78 hotel dan 12 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Seramai 685 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 120,747 individu dibenarkan pulang ke rumah, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.