14 kematian termasuk dua individu tiada penyakit kronik

12

23 FEB: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan 14 lagi kes kematian membabitkan individu berusia 30 hingga 74 tahun akibat jangkitan Covid-19 di mana dua daripadanya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik, menjadikan angka kematian akibat jangkitan virus ini di Malaysia adalah sebanyak 1,076 orang.

Selain itu, sebanyak 2,468 kes baharu positif termasuk 2,464 kes tempatan dan empat kes import dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkin Covid-19 di Malaysia sehingga sekarang adalah 288,229 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM juga ingin memaklumkan 4,055 kes sembuh hari ini sekali gus menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya sehingga kini adalah 256,678 kes.  

Dr Noor Hisham berkata seramai 196 pesakit pula dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 92 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Selangor kekal sebagai negeri dengan kes positif harian tertinggi dengan pertambahan 932 kes (37.8 peratus) sekali gus menjadikan jumlah kes keseluruhan dikesan di negeri itu adalah 96,237 ke; diikuti Johor 428 kes positif hari ini; Perak (308); Pulau Pinang (155 kes); Kuala Lumpur (155 kes); Sarawak (133 kes) Negeri Sembilan (100 kes) dan selebihnya di negeri lain.

“Sebanyak 579 kes (62.1 peratus) daripada 932 kes di Selangor adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 175 kes (7.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bendera (107 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (36 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (19 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes), dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 10 kes di Selangor, dua kes di Sarawak, dan masing-masing satu kes di  Johor dan Sabah. Sebanyak 13 kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.