Zahid dinasihat tak hadir mesyuarat seminggu sebelum perbicaraan

131

22 FEB: Selepas perbicaraan ditangguhkan sekali lagi, mahkamah mengarahkan pasukan pembelaan menasihatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir sebarang mesyuarat dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum perbicaraan berlangsung.

Ketika membenarkan penangguhan, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berkata, ini bukan kali pertama perbicaraan bekas timbalan perdana menteri tersebut membabitkan dana Yayasan Akalbudi terpaksa ditangguhkan atas sebab sama iaitu dia perlu dikuarantin.

Perbicaraan yang dijadualkan bersambung hari ini ditangguhkan buat kali ketiga selepas Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO terpaksa menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat individu yang disahkan positif Covid-19.

“Ini (penangguhan) akan berlanjutan sepanjang minggu hingga Khamis. Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Boleh tak kamu nasihati anak guam (Ahmad Zahid) kamu agar tidak hadiri sebarang mesyuarat seminggu sebelum kesnya, kalau tidak sampai bila pun kes ini tidak akan selesai.

“Saya juga terpaksa melapangkan sesi yang lalu kerana masalah sama. Tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan memadai untuk pendakwaan menutup kes. Walaupun beliau ada tugas rasmi untuk dijalankan, hadir di mahkamah juga penting, justeru tolong ingatkan beliau (agar tidak hadiri sebarang mesyuarat),” katanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh memberitahu mahkamah anak guamnya itu tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana telah dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) yang menuntutnya menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 10 hari bermula semalam.

“Anak guam saya terpaksa menjalani kuarantin selepas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abd Aziz disahkan positif Covid-19 pada Ahad.

“Ahmad Zahid memaklumkan (kami) yang beliau menghadiri dua mesyuarat parti di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) Janda Baik, Pahang. Beliau berada di bilik mesyuarat yang sama dengan Datuk Johan,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mac depan untuk perbicaraan bersambung.

Pendakwaan dijadualkan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Fairul Rafiq Hamiruddin sebagai saksi seterusnya pada perbicaraan itu.

Setakat ini, 90 saksi pendakwaan telah memberi keterangan pada perbicaraan kes yang kali terakhir didengar pada 13 Oktober tahun lepas.

Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 pertuduhan melibatkan 12 kes pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.