Seleweng RM3.1j, 7 anggota JPJ direman tujuh hari

40

22 FEB: Mahkamah Majistret  Johor Bahru memerintahkan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor yang disyaki terlibat dalam penyelewengan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) direman tujuh hari.

Majistret Nurmadiana Mamat memerintahkan semua suspek berusia 27 hingga 42 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 28 Februari depan selepas menerima permohonan pegawai penyiasat SPRM Johor.

Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berhubung penyelewengan urusan cukai jalan LKM membabitkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor dengan nilai mencecah RM3.1 juta.

Semalam, SPRM Johor dilaporkan menahan tujuh petugas JPJ Johor bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan LKM yang dipercayai hasil perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan berkenaan dengan menceroboh sistem JPJ.

Kesemua kakitangan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita itu dilaporkan ditahan antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari semalam, dan dipercayai bertugas di JPJ Johor Bahru di Taman Daya, di Johor Bahru.

Menurut sumber, mereka dipercayai memanipulasi sistem MySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang berada di Johor Bahru semalam bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor dilaporkan mengesahkan tangkapan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.