Radzi puas hati tahap pematuhan SOP pelajar duduki SPM

20

22 FEB : Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin turun padang melihat sendiri pematuhan Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan kepada calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook beliau, Radzi yang berkesempatan turun padang melihat calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang, Selangor itu bersyukur kerana Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan berjalan dengan lancar.

“Hari ini merupakan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) di mana calon menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1.

“Peperiksaan SPM pada tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Pagi tadi saya bersama Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan berkesempatan melawat ke SMK Saujana Impian untuk meninjau keadaan di sekolah dan pematuhan kepada SOP.

“Keadaan teratur dan peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya menerusi media sosialnya, hari ini.

Seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan menduduki SPM 2020 dalam suasana pembudayaan norma baharu.

Selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, kelainan bagi calon SPM 2020 ialah mereka juga perlu membawa ‘pelindungan’ iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Dalam pada itu, Radzi turut mendoakan semua calon-calon SPM dipermudahkan menjawab soalan serta memperoleh kejayaan dalam peperiksaan itu.

“Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak yang menduduki peperiksaan SPM 2020 dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.