PN Selangor komited kukuhkan kerjasama antara parti- Azmin

19

22 FEB: Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor komited untuk memperkukuhkan kerjasama di antara parti-parti di dalam gabungan tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PN Selangor akan memberikan fokus kepada usaha merencana dan melaksanakan dasar demi menghasilkan kemakmuran serta keadilan sosial.

“Dengan jalinan kerjasama berkenaan ia mampu memberi kekuatan antara parti semasa tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan pasca pilihan raya bagi membentuk kerajaan yang stabil.

“Sebagai sebuah kerjasama politik, PN bertekad untuk memartabatkan jati diri bangsa Malaysia sekali gus meraikan kepelbagaian bahasa, kaum dan agama sebagai satu kesatuan yang utuh dan dinamik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Azmin memberitahu, parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) secara rasmi menyertai Mesyuarat Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Selangor, semalam.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ini adalah pembabitan sulung GERAKAN di peringkat negeri selepas pengumuman oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti berkenaan sah sebagai anggota PN pada 11 Februari lalu.

“Penyertaan GERAKAN amat signifikan untuk memperkukuh citra PN dan membuktikan dasar pakatan yang inklusif serta meraikan kepelbagaian.

“Saya yakin dasar ini akan memperkukuh usaha PN untuk menggembleng penyertaan dan dukungan rakyat khususnya generasi milenial. PN juga beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai,” katanya.

Sementara itu, Azmin berkata, dalam mesyuarat itu, ahli yang hadir turut sebulat suara melantik Pengerusi GERAKAN Selangor, Datuk Ang Chin Tat sebagai Naib Pengerusi Perikatan Nasional Selangor.

“Turut dilantik ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.