PM tinjau persediaan IKN laksana Program Imunisasi COVID-19

35

22 FEB: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini mengadakan lawatan ke Institut Kanser Negara (IKN) bagi meninjau kesiapsiagaan fasiliti tersebut untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama yang akan bermula pada 24 Februari 2021.

Pada lawatan tersebut, Perdana Menteri telah diberikan taklimat berkenaan proses peyimpanan dan pengurusan vaksin COVID-19 di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) serta proses pemberian vaksin yang akan dilaksanakan. Beliau turut dibawa meninjau persiapan terakhir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum proses pemberian vaksin bermula Rabu ini.

Yang turut hadir sama pada lawatan itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, IKN adalah salah satu daripada 54 lokasi PSV dan 605 lokasi PPV di seluruh negara yang akan berperanan membekalkan vaksin secara berjadual kepada empat PPV di Putrajaya yang telah dikenal pasti.

Katanya, vaksin yang diterima oleh IKN adalah untuk kegunaan dalam fasa pertama pelaksanaan program imunisasi ini termasuklah anggota kesihatan dan bukan kesihatan yang melibatkan seramai 7,020 orang.

“Vaksin Comirnaty® keluaran Pfizer-BioNTech, adalah sensitif terhadap suhu dan perlu disimpan dalam Penyejuk Beku Bersuhu Ultra-Rendah (Ultra Low Temperature Freezer – ULTF) dengan suhu -90°C sehingga -60°C bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.

“Jangka hayat vaksin dalam penyejuk beku ini adalah enam (6) bulan daripada tarikh pengilangan. Bagi tujuan pembekalan ke PPV, vaksin akan dipindahkan ke kotak sejuk (cold box) dengan suhu simpanan 2°C hingga 8°C dan dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas, dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV.

“Vaksin Comirnaty® yang disimpan pada suhu 2°C hingga 8°C mempunyai jangka hayat sehingga lima (5) hari atau bersamaan dengan 120 jam,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa yang dimulakan dengan Kumpulan Barisan Hadapan dan akan diikuti dengan Kumpulan Berisiko Tinggi serta Penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Pejabat Perdana Menteri berkata pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus COVID-19. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.