14,518 anggota pihak berkuasa terlibat pemantauan SOP PKP

38

22 FEB: Sebanyak 3,247 Pasukan Pematuhan melibatkan 14,518 anggota telah membuat pemantauan standard operasi prosedur (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 6,110 buah restoran, pasar raya (4,613), bank (4,204), penjaja (2,744), pasar awam/tani (2,265), kilang (1,618) dan pejabat kerajaan (847).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa juga melakukan pemantauan terhadap 3,786 tempat ibadah, tempat riadah (1,669), terminal pengangkutan darat (1,224), terminal pengangkutan air (294) dan terminal pengangkutan udara (102).

Sementara itu, Ismail memberitahu seramai 466 individu dikompaun, 39 direman manakala empat lagi individu dijamin selepas ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melanggar SOP PKP di seluruh negara, semalam.

“Mereka ditahan hasil 64,442 pemeriksaan dilakukan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM yang melakukan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP PKP, semalam.

“Semalam, seramai 509 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 466 dikompaun, 39 direman manakala empat (4) lagi individu dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (120), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (111); tiada penjarakan fizikal (95); aktiviti perjudian (54); tidak memakai pelitup muka (49); aktiviti Pusat Hiburan (37); keluar rumah tanpa alasan munasabah (11); premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran dan lain-lain (24),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa juga menangkap 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat dalam Ops Benteng di seluruh negara, semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 86 buah bot/kapal di perairan negara melalui lima (5) aktiviti penglihatan. Pada masa sama, sembilan orang PATI turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” katanya.

Ismail Sabri juga mengesahkan sembilan daripada 10,288 warga asing telah menjalani ujian saringan di seluruh negara semalam didapati positif COVID-19.

Beliau berkata secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 437,211 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 21,403 majikan.

“Daripada jumlah ini, seramai 7,852 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 429,359 lagi adalah negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,449 buah klinik telah terlibat dengan program saringan seperti diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.