PAS tak gentar Putra mahu bertanding 40 kerusi DUN Perak

48

22 FEB: PAS tidak gentar dengan pengumuman Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang berhasrat bertanding di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dalam pilihan raya umum (PRU-15) akan datang.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata pihaknya mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Penyelaras Putra Perak, Datuk Hamidah Osman kerana ia adalah amalan biasa dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi seperti Malaysia.

Razman berkata, semua parti bebas mengeluarkan kenyataan untuk meletakkan seberapa ramai calon untuk bertanding pada PRU-15 jika mereka yakin boleh menang.

“Saya memang mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Penyelaras Parti Putra kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan lagi ramai calon bertanding lagi bagus kerana rakyat mempunyai banyak pilihan untuk memilih siapa paling layak menjadi wakil rakyat.

“Bagaimanapun, keputusan akhir mengenai siapa bakal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat hanya boleh kita ketahui pada hari pengundian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razman berkata demikian ketika mengulas kenyataan Parti Putra Perak yang sudah menyediakan calon menteri besar sekiranya parti itu berjaya menguasai majoriti DUN pada PRU-15 nanti.

Terdahulu, Hamidah berkata, calon tersebut merupakan seorang tokoh terkemuka anak Perak yang hanya akan didedahkan apabila tiba masanya.

Hamidah menegaskan, Putra akan meletakkan calon di 40 kerusi DUN kerana  optimis untuk memenangi majoriti kerusi di Perak setelah melihat suasana perpecahan politik di dalam Perikatan Nasional (PN) terutama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ditanya sama ada PN Perak sudah menyelesaikan isu pembahagian kerusi antara PAS, UMNO dan Bersatu, Razman berkata, perkara itu bakal diputuskan oleh kepimpinan parti peringkat pusat selepas tarikh sebenar PRU-15 diumumkan.

“Setakat ini kita masih belum membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi kerana masih terlalu awal dan akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PAS Pusat selepas berundingan dengan parti gabungan PN lain,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.