Mahkamah minta bukti Zahid hadir mesyuarat MKT UMNO

77

22 FEB: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meminta pihak pembelaan menyerahkan bukti bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu di Janda Baik, Pahang, pada Jumaat lalu.

Arahan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah itu dibuat selepas pihak pembelaan memohon penangguhan kes kerana Ahmad Zahid sedang menjalani kuarantin 10 hari selepas seorang pemimpin Umno yang bermesyuarat dengannya positif Covid-19.

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh memberitahu mahkamah anak guamnya itu tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana telah dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) yang menuntutnya menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 10 hari bermula semalam.

“Anak guam saya terpaksa menjalani kuarantin selepas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abd Aziz disahkan positif Covid-19 pada Ahad.

“Ahmad Zahid memaklumkan (kami) yang beliau menghadiri dua mesyuarat parti di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) Janda Baik, Pahang. Beliau berada di bilik mesyuarat yang sama dengan Datuk Johan,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran bagaimanapun berkata, pihak pembelaan harus mengemukakan lebih banyak maklumat dan bukti kehadiran Ahmad Zahid pada mesyuarat itu.

“Kami perlukan bukti yang beliau memang benar-benar hadir mesyuarat dan juga bukti mesyuarat diadakan pada hari itu, di mana dan bila beliau hadir serta siapa lagi yang hadir pada mesyuarat tersebut bagi menyokong dakwaan yang beliau merupakan kontak rapat individu tersebut (yang diuji positif),” katanya.

Raja Rozela juga berkata, mesyuarat tersebut diadakan di negeri lain, sekali gus menunjukkan Ahmad Zahid melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dengan melakukan pergerakan merentas sempadan negeri.

Katanya ini merupakan kali ketiga kes itu ditangguhkan atas sebab sama.

“Saya rasa perlu ada pengajaran daripada perkara ini. Tertuduh nampaknya macam acuh tidak acuh selain mengabaikan aspek kesejahteraan dirinya dan kita semua.

“Beliau juga seolah-olah menganggap perbicaraan ini tidak sepenting urusan lain beliau dan menggunakan alasan tersebut untuk mengelakkan daripada berada di mahkamah. Mahkamah harus memberi teguran keras terhadap beliau,” katanya.

Hamidi seterusnya menjawab bahawa mahkamah tidak ada kepentingan untuk meminta bukti tentang sebarang mesyuarat parti politik.

Bagaimana, Sequerah berkata, mahkamah mempunyai kepentingan dalam isu itu kerana perkara tersebut mengganggu jadual mahkamah.

“Anda tidak boleh kata ini bukan urusan mahkamah, hal ini ada impak ke atas mahkamah dari segi kita tidak boleh teruskan perbicaraan. Pembelaan perlu mengemukakan segala dokumen berkaitan berhubung mesyuarat yang dihadiri oleh Ahmad Zahid seperti permit merentas sempadan negeri;” katanya.

Mahkamah direhatkan selama 30 minit sebelum pasukan pembelaan mengemukakan dokumen iaitu sepucuk surat daripada Majlis Tertinggi UMNO menjemput Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat.

Hamidi menambah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan pengecualian kepada anggota parlimen untuk merentas negeri untuk urusan rasmi.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mac depan untuk perbicaraan bersambung.

Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 pertuduhan melibatkan 12 kes pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.