Kes harian menurun, angka kematian meningkat berbanding semalam

8

22 FEB: Kes harian baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan ketara dengan sebanyak 2,192 kes direkodkan hari ini, berbanding 3,297 kes dilaporkan semalam.

Namun, kes kematian meningkat sebanyak enam orang yang direkodkan setakat tengah hari tadi, berbanding lima kematian yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 285,761 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 32,076 kes.

Menurut beliau, Selangor kekal mencatatkan bilangan kes COVID-19 harian baharu tertinggi iaitu 910 kes, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 303 kes dan Sarawak sebanyak 221 kes setakat yang direkodkan di negara ini setakat hari ini.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,189 kes.

“Sebanyak 199 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 91 kes menerima bantuan alat pernafasan dan jumlah keseluruhan 1062 kematian setakat ini termasuk enam kes kematian yang dilaporkan hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini

Pada masa sama, sebanyak 3,424 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 252, 623 kes atau 88.40 peratus. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.