Guru berisiko tinggi diutama terima vaksin Covid-19

26

20 FEB: Guru yang berisiko tinggi akan diberi keutamaan menerima suntikan vaksin Covid-19 seandainya permintaan agar golongan guru dimasukkan dalam kelompok penerima vaksin fasa pertama diluluskan.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahaya berkata, kementeriannya kini sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi membolehkan para guru menjadi penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula Rabu ini.

 “Sekiranya permohonan ini diluluskan, kementerian akan memberi keutamaan kepada guru-guru yang berisiko tinggi untuk mendapat suntikan vaksin itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Yoke Kuan, Sabak Bernam, Selangor, hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk memberi vaksin Pfizer-BioNTech fasa pertama kepada kelompok guru paling berisiko.

Menurut Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, pihaknya menerima banyak permohonan daripada pihak yang mahu golongan guru dipertimbang sebagai penerima vaksin fasa pertama,

Permohonan itu dilihat munasabah memandangkan sekolah akan dibuka semula pada bulan depan.

Bagaimanapun Khairy menjelaskan pihaknya berdepan kekangan kerana bekalan vaksinn fasa pertama hanya berjumlah kira-kira satu juta dos dengan sebahagian pendaftaran membabitkan 500,000 barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan bukan kesihatan.

Sehubungan itu jelasnya, permohonan pemberian vaksin fasa pertama kepada sekumpulan guru yang akan diberi keutamaan dilihat lebih adil berbanding permohonan pemberian kepada semua guru.

Sementara itu, Muslimin menerusi Facebooknya memberitahu, beliau yang turun padang ke beberapa buah sekolah bersyukur kerana pihak sekolah telah membuat persiapan luar biasa seperti yang telah ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Alhamdulillah dalam suasana luar biasa, sekolah buat persiapan luar biasa menyediakan sebuah bilik peperiksaan walaupun hanya ada  12 calon (peperiksaan) saja,  siap segala SOP (dipatuhi).

“Sekolah juga menyediakan persiapan bilik isolasi, persiapan bilik kuarantin, persiapan bilik alternatif dan bilik prep atau bilik study bagi menunggu kertas seterusnya.

“Alhamdulillah, akhirnya SPM dapat juga dilaksanakan dengan izin Allah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.