GRS belum bincang pengagihan kerusi PRU 15

4

22 FEB: Pengarah Strategik dan Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, mengesahkan belum ada perbincangan rasmi antara parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pengagihan kerusi di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke 15 akan datang.

Bagaimanapun, Lajim yakin tidak akan ada pertembungan antara parti dalam GRS walaupun baru-baru ini Umno menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 14 daripada 25 kerusi dipertandingkan.

“Siapa pun boleh membuat sasaran (kerusi akan ditandingi), kita (PPBM) juga boleh mensasarkan 10 kerusi atau lebih tetapi dalam GRS kita ada rakan lain seperti STAR, SAPP begitu juga BN (Barisan Nasional), Umno dan PBS.

“Bagaimanapun, saya yakin pada akhirnya kita akan memikirkan soal kepentingan negara, kepentingan orang Sabah, maka kita akan ada toleransi untuk mengagihkan kerusi, kita lihat nanti macam mana tapi tidak akan ada parti yang dominan, itu saya yakin,” katanya pada sidang media.

Lajim yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata, walaupun belum ada sebarang perbincangan rasmi dilakukan GRS, namun pemimpin dalam gabungan itu sentiasa berkomunikasi dari semasa ke semasa.

Katanya, perbincangan tidak rasmi dilakukan pemimpin dalam GRS juga boleh dijadikan sebagai perbincangan rasmi apabila semuanya duduk bersama untuk berbincang nanti.

“Belum ada secara rasmi (perbincangan) tetapi kita selalu bersembang dan kadang-kadang saya pun ada bertemu dengan pemimpin Umno dan kami bincang bagaimana untuk memperkukuhkan hubungan antara PN (Perikatan Nasional) dan BN.

“Apa yang saya boleh katakan perbincangan secara tidak rasmi dibuat dari semasa ke semasa, contohnya kalau Bung (Moktar Radin) bertemu dengan ketua menteri (Hajiji Noor), dia boleh bisik dan bincang dulu secara peribadi kerana mungkin ada berlaku percanggahan dan dia mungkin ada alasan kenapa mahu kerusi itu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap semua parti di Semenanjung yang ada dalam kerajaan ketika ini akan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka.

“Daripada kenyataan terakhir yang saya baca daripada Bung sewaktu sambutan 30 tahun Umno Sabah, beliau berkata kita akan memperkukuhkan hubungan dengan rakan GRS.

“Begitu juga Zahid (Hamidi) selaku presiden Umno yang meminta supaya hubungan antara parti dalam GRS diperkukuhkan menjamin kelangsungan serta membangunkan negeri ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.