Disahkan positif COVID-19, Johan terima rawatan di HSB

36

22 FEB: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abd Aziz disahkan positif COVID-19 dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh sejak malam tadi.

Perkara itu disahkan beliau menerusi Facebook miliknya yang turut memohon doa supaya beliau kembali sihat dan sembuh daripada virus yang dijangkitinya.

“Assalammualaikum. Makluman buat sahabat-sahabat, saya telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebentar tadi (malam Ahad). Alhamdulillah akan menerima rawatan di sini buat masa ini.

“Doakan saya kembali sihat dan sembuh daripada virus Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Terdahulu, Johan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat dilaporkan menghadiri mesyuarat parti di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.

Difahamkan, beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang turut menghadiri Mesyuarat MKT UMNO berkenaan bertindak segera melakukan ujian saringan sebaik menerima maklumat terdapat kes positif COVID-19 membabitkan ahli mesyuarat.

Antara pemimpin yang menghadiri mesyuarat MKT berkenaan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.