UMNO, PAS, BERSATU Selangor Capai Persetujuan Agihan JPKKP

26

21 FEB: UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Selangor yang mengadakan pertemuan baru-baru ini bagi membincangkan agihan jawatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Perkara itu disahkan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menerusi Facebook miliknya semalam yang turut berkongsikan gambar pertemuan beliau bersama Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Noh memaklumkan pertemuan yang diadakan di kafe dalam Bangunan Kumpulan Muara itu berjalan dengan lancar.

“Perjumpaan santai saya di kafe Bangunan Kumpulan Muara bersama Pesurujaya Pas Selangor dan Pengerusi Bersatu Selangor membincangkan tentang kuota pengagihan jawatan JPKKP dalam kerajaan Persekutuan.

“Alhamdulillah perbincangan berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya ringkas menerusi media sosialnya, semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli menyambut baik pertemuan enam mata itu yang membuktikan ketiga-tiga pemimpin politik di Selangor ini amatlah berjiwa besar

Menurut beliau, pemimpin sesebuah parti politik perlu berusaha mencari titik persamaan dalam perbezaan di samping meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara di hadapan.

“Keterbukaan ini adalah satu langkah yang cukup mendapat perhatian seluruh penggerak politik anak muda di negeri ini.

“Pemimpin politik juga perlu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk bermusyawarah atau bersemuka.

“Bina kekuatan atas perbezaan antara kita bagi menghadapi musuh politik yang sentiasa menanti peluang keretakan antara kita,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.