Terima kasih Kapten Hamdan – Wee Ka Siong

80

21 FEB: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong merakamkan penghargaan kepada Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines, Kapten Hamdan Che Ismail yang berjaya mendaratkan vaksin pertama untuk Malaysia, Pfizer-BioNTech  dengan selamat.

Perkara itu dikongsikan oleh Ka Siong menerusi laman Instagram miliknya menyatakan vaksin tersebut dibawa menggunakan pesawat penerbangan kargo Malaysia Airlines MH604.

“Kapten Hamdan memberitahu saya bahawa beliau gembira dan bangga kerana dapat melaksanakan misi yang amat bermakna ini dengan jayanya.

“Syabas juga buat semua yang terlibat dalam urusan membawa masuk vaksin ini, katanya menerusi akaun instagram miliknya hari ini.

Terdahulu, pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.

Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium, dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan berbeza di laman Facebooknya, Ka Siong menyatakan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memberi kerjasama penuh dan fasilitasi dalam memastikan urusan penghantaran bekalan vaksin sampai ke destinasi dengan selamat dan tepat tertakluk kepada pematuhan polisi serta piawaian keselamatan teknikal.

“Tinggi harapan kita dengan ketibaan vaksin kumpulan pertama ini akan menjadi sinar yang mengakhiri pertempuran negara melawan wabak COVID-19.

“MASKargo diberikan tanggungjawab untuk menguruskan kemasukan vaksin ini dari Changi ke KLIA. Sebelum itu, vaksin hanya dibawa oleh DHL (termasuk di seluruh dunia) di bawah pengurusan pihak Pfizer sendiri.

“Kita berharap MASKargo dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam membawa produk penting seperti vaksin ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, menurut Ka Siong, Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memasukkan seramai 67,573 barisan hadapan di sektor pengangkutan dalam senarai awal atau di beri keutamaan untuk menerima suntikan vaksin ini.

“Program Imunisasi terhadap petugas barisan hadapan sektor pengangkutan akan dapat melindungi petugas barisan hadapan daripada jangkitan COVID-19 bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan yang disediakan adalah lebih selamat dan diyakini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.