Tapak bina Central Medicare dikenakan PKPD mulai esok

62

21 FEB: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama, Kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, bermula esok sehingga 7 Mac hadapan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 1,966 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, 185 orang positif COVID-19.

“Setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Asrama, Kilang dan Tapak Binaan Central Medicare, Hilir Perak  bermula esok sehingga 7 Mac ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ismail memberitahu PKPD di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping, Perak ditamatkan bermula esok mengikut tarikh dijadualkan.

Menurut beliau, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 482 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 142 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping, Perak pada esok seperti yang dijadualkan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.