Suntikan vaksin untuk PM diawalkan 2 hari

20

21 FEB: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bakal menjadi penerima pertama dos vaksin Covid-19 Pfizer/ BioNTech yang diawalkan pada Rabu ini daripada jadual asal pada 26 Februari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berkata Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan menerima suntikan vaksin berkenaan di Klinik Kesihatan Putrajaya, selepas selesai Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari berkenaan.

Beliau berkata Perdana Menteri memutuskan untuk memberikan suntikan vaksin dua hari lebih awal berbanding tarikh asal selepas berpuas hari dengan persiapan rapi dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan dan pihak berkepentingan lain.

“Saya bersyukur kerana 312 390 dos penghantar pertama vaksin Covid-19 Pfizer/ BioNTech di Malaysia hari ini, seterusnya fasa seterusnya pada 26 Febuari ini dan akan berterusan sehingga selepas satu juta dos pada April ini.

“Saya juga ingi memaklumkan bahawa Malaysia dijangka menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 buatan syarikat biofarmaseutikal dari China, Sinovac dijangka tiba di Malaysia pada 27 Februari ini tertakluk kepada kelulusan NPRA, dalam masa terdekat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya selepas menyambut ketibaan bekalan pertama vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Khairy berkata ketibaan bekalan pertama vaksin Covid-19 itu mencatatkan sejarah tersendiri dan membolehkan kerajaan memulakan  Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada lebih 80 peratus rakyat Malaysia, dalam masa terdekat.

Beliau berkata bekalan vaksin pertama berkenaan akan dibawa ke 16 lokasi simpanan di seluruh negara selepas ia tiba menerusi jalan darat dari Singapura ke Johor, jam 2 petang ini dan Pulau Pinang menerusi kapal terbang jam 6 petang ini.

“Sehingga kini 271,802  petugas barisan hadapan termasuk lebih 57.7 peratus daripadanya adalah anggota kesihatan dan 42.3 lagi terdiri daripada anggota polis, bomba dan kakitangan kerajaan lain sudah mendaftarkan diri untuk menjadi penerima fasa pertama dos vaksin Covid-16 bermula Rabu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata kerajaan juga akan mengumumkan satu skim khas sebagai bayaran pampasan kepada penerima vaksin Covid-19 yang menghadapi kesan sampingan yang teruk selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Saya juga ingin mengesahkan bahawa kerajaan masih kekal dengan keputusan bahawa penerima vaksin Pfizer akan diberikan dua dos suntikan seperti diputuskan sebelum ini.

“Setakat ini kerajaan kekal dengan keputusan tidak bercadang untuk mewajibkan rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin dan penerimaannya adalah secara sukarela dengan pendaftarannya akan dibuka mulai Mac ini,” katanya.

Katanya, kerajaan juga sedia mempertimbangan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada guru dan pengamal media berisiko tinggi dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bermula minggu depan.

Beliau berkata tindakan itu selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula pada 1 Mac depan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata KKM sudah membuat pembelian pelbagai peralatan termasuk picagari khas bagi memastikan dos vaksin Covid-19 dibeli kerajaan tidak dibazirkan.

“Tindakan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan untuk menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer adalah satu langkah penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhada pelan vaksinasi kebangsaan,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.