PDRM pastikan penghantaran vaksin COVID-19 berjalan lancar

71

21 FEB: Satu pasukan pengiring khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) diwujudkan bagi memastikan pergerakan penghantaran vaksin COVID-19 di seluruh negara berjalan lancar dan selamat.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, seramai 150 anggota polis akan terbabit dalam mengiringi 312,390 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia hari ini, selain pembabitan aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Menurut Azri Ahmad, sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

“Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.

“PDRM sudah mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik serta cawangan khas akan terbabit dalam penugasan ini,” jelasnya.

Azri berkata, selain terbabit dalam penugasan mengiringi semua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik serta balai polis bergerak.

Beliau berkata, PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.

“Kami menganggap ini tugasan sangat penting kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada keperluan untuk jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.

“Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat serta tiada keperluan untuk melakukan penutupan jalan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.