Parti Melayu bergerak solo takkan menang PRU15

19

21 FEB: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)  memberi jaminan tiada sebuah parti Melayu di negara ini yang mampu memenangi PRU15 jika bergerak secara solo berdasarkan landskap politik semasa. 

Justeru, Penasihatnya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah menyeru semua parti politik Melayu agar berhentikan bernostalgia merasakan mereka boleh bergerak sendirian dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Beliau menyatakan kebimbangan jika parti-parti Melayu di negara ini masih bernostalgia dengan keagungan silam yang bukan sahaja seluruh negara akan mengalami kerugian, bahkan generasi masa hadapan kaum Melayu yang akan kehilangan kuasa.

“Saya tidak faham pemimpin parti-parti Melayu yang langsung tidak memikirkan kepentingan negara dan generasi masa hadapan. Mereka cukup ego, suka bernostalgia dengan keagungan silam.

“Saya memahami salah satu masalah besar dalam menjayakan penyatuan parti-parti Melayu adalah isu pembahagian kerusi pilihan raya.

“Tetapi, kalau kita terus berasa kuat dan mempertahankan ego kononnya kerusi ditandingi adalah kerusi tradisi, saya jamin parti-parti Melayu akan bermasalah besar pada PRU15,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ibrahim yang juga pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengharapkan kepimpinan parti itu melakukan penilaian dan penelitian dengan baik. 

Jelas beliau, UMNO tidak boleh sesuka hati menendang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada konsensus perpaduan Melayu kerana parti kerajaan itu sebenarnya mempunyai peranan tersendiri yang unik.

“Semua pemimpin parti Melayu kena sedar, sekiranya tiada perpaduan Melayu Islam terjalin, maka usaha perpaduan dengan kaum lain juga mustahil tercapai. Bagaimana kaum lain hendak hormat kita kalau kita sendiri berpecah?” soalnya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.