Malaysia bakal keluarkan picagari ‘low dead volume’

31

21 FEB: Malaysia akan mengeluarkan sendiri picagari jenis ‘low dead-volume’ yang menjadi antara komponen penting dalam pemberian suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, pengeluaran produk berkenaan adalah bagi menyokong keperluan kira-kira 12 juta picagari berkenaan dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau berkata, picagari jenis low dead-volume perlu digunakan bagi mengelakkan pembaziran dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Bagi tujuan itu, katanya, Malaysia akan bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal Pfizer yang akan membantu dari segi teknologi bagi memastikan penghasilan picagari itu selaras dengan kualiti picagari yang dihasilkan negara luar.

“Kita kena percepatkan penghasilan picagari ini. Ketika ini, kita mendapatkannya daripada syarikat yang menghasilkannya di luar negara.

“Dalam hal ini, kita perlu pastikan Malaysia juga menjadi negara yang boleh menghasilkan picagari ini. Pfizer akan bantu kita dalam teknologi ini supaya picagari yang kita hasilkan memiliki kualiti yang sama dengan yang dihasilkan di negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, Dr Adham dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan 12 juta picagari jenis ‘low dead-volume’ bagi membuat suntikan terhadap 20 peratus atau enam juta penerima fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang akan bermula Rabu ini.

Sementara itu, Khairy menjelaskan, picagari low dead-volume menjadi keperluan kerana ia boleh memaksimumkan penggunaan jumlah dos daripada sebotol bebuli (vial) vaksin.

“Untuk vaksin Pfizer, dalam satu bebuli ada enam dos. Dos keenam itu hanya boleh diambil dengan menggunakan picagari ‘low dead-volume.

“Banyak negara lain sebelum ini terpaksa membazirkan satu dos daripada setiap satu bebuli kerana tiada picagari ‘low dead-volume’ untuk mengambilnya.

“Namun, KKM sudah membuat perancangan awal untuk memastikan Malaysia memiliki jumlah picagari ‘low dead-volume’ yang mencukupi untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.