Kerajaan pandang serius perbuatan sentuh sensitiviti agama, kaum

69

21 FEB: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, memandang serius sebaran video yang memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Muslim yang mengaku telah memurtadkan seorang wanita Muslimah bukan warganegara Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan memandang ringan sebarang usaha yang boleh mengeruhkan hubungan antara agama khususnya melibatkan sensitiviti agama-agama di Malaysia.

“Sebagai Pengerusi bersama Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Antara Agama (HARMONI) yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara, saya akan berusaha untuk memastikan sebarang polemik berkaitan agama akan diselesaikan dengan baik dan berhemah.

“Saya menyeru agar agar semua pihak dapat menghormati antara satu sama lain, serta tidak bertindak menyalahi lunas perundangan, terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan hubungan antara kaum supaya keharmonian kaum dan agama terus terpelihara di negara yang penuh barakah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli yang juga Mufti Wilayah Persekutuan berkata beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut

Beliau berkata orang ramai perlu memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah terjamin di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak dan kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dan agama-agama lain di Malaysia, termasuklah hak untuk menganutinya dan mengamalkannya.

“Bagaimanapun, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal ini memberi kuasa kepada Negeri untuk menggubal undang-undang bagi  mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam, termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar dari agamanya samada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekalipun,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata hampir semua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan punca kuasa pada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Zulkifli berkata beliau difahamkan bahawa Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan.

“Ini merupakan antara keutamaan Kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia. Selain daripada penguatkuasaan undang-undang, kerajaan juga mengambil berat aspek dakwah dan pendidikan dalam menangani isu-isu berkaitan pengukuhan akidah.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Unit Konsultasi Akidah sentiasa berperanan sebagai hab khidmat nasihat, bimbingan dan istitabah kepada mana-mana umat Islam yang berhadapan dengan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan kenyataan media dan menyatakan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri dalam menangani isu seperti ini.

Katanya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bersedia dalam usaha memperkasa dakwah dan tarbiah kepada umat Islam khususnya dari sudut akidah dan kerohanian melalui pendekatan yang menyeluruh dan selari dengan Maqasid Syariah. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.