Jangan kerana berebut kerusi, kita berpecah belah -DUPP

87

21 FEB: Perpaduan di antara PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) harus dijadikan kunci persefahaman menerusi meja rundingan rasmi dalam berbincang dan mencapai sesuatu keputusan kebersamaan.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Mohd Nor Hamzah berkata, semua pihak mestilah memperkukuh dan menjamin kestabilan menerusi perpaduan ummah yang telah terbentuk itu. 

Menurut beliau, perbezaan yang ada di kalangan parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu diketepikan dengan memberikan lebih fokus terhadap hal yang disepakati bersama iaitu kepentingan Islam, ummah dan negara.

“Jangan sampai berbalah disebabkan perebutan kerusi yang akhirnya hanya menguntungkan musuh yang sememangnya menantikan perpecahan dalam perpaduan ini. 

“Jangan dilupakan perpaduan kerana perebutan kerusi tanpa sikap persefahaman dan saling memahami hanya akan membuka ruang kepada pihak lawan yang telah terbukti membawa kerosakan dan kemudaratan sewaktu mereka memerintah negara walau selama 22 bulan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Mohd Nor memberitahu agenda perpaduan merupakan agenda besar yang mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam perjuangan menyelamatkan negara.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu berkata ini bagi membina kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang sedang berlangsung sekarang menerusi jalinan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). 

“Kenyataan ini adalah sebagai satu respons jawapan kepada kenyataan mana-mana pihak yang cuba mengheret pimpinan parti PAS, UMNO dan BERSATU supaya melupakan perpaduan dan mencetuskan perselisihan yang membentuk perpecahan. 

“Perpaduan nasional di negara ini mestilah dengan memastikan umat Islam Melayu disatukan terlebih dahulu dan parti parti dominasi melayu Islam mesti saling bekerjasama dalam membela agenda agama, ummah dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, sebagaimana teori Ibn Khaldun dalam pembinaan negara, Mohd Nor berkata kestabilan dalam perpaduan dicapai dengan menyatukan terlebih dahulu kaum yang dominan di tempat tersebut.

“Ia selaras sebagaimana kefahaman terhadap hadis Rasulullah SAW berkenaan yang bermaksud pemimpin (dilantik) dari kaum Quraisy (kaum yang dominan).

“Ini diikuti dengan jalinan kerjasama bersama parti-parti bukan Melayu dan non-Muslim yang tidak ekstrem, yang boleh menerima agenda perpaduan ummah bagi mengukuhkan lagi keharmonian sejagat ke atas masyarakat berbilang kaum yang sedia ada di negara ini,” katanya. 

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, beliau menambah dalam kepelbagaian wujudkan cabaran yang boleh menyebabkan kepada perpecahan namun dapat diselesaikan dengan semangat kekitaan sebagaimana kepelbagaian etnik diikat dengan etnisiti. 

Tegasnya lagi, perpaduan yang diseru oleh Islam tidak hanya sekadar dengan ‘siapa’ tetapi ia mestilah atas dasar ‘apa’.

“Di sinilah timbullah kunci fokus kepada kebersamaan dan berlapang dada dalam perkara yang berbeza. 

“Disebabkan itu kita tidak boleh memaksa untuk hanya berkawan dengan kita dalam masa yang sama memusuhi apa yang kita musuhi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.