Facebook Tutup Akaun Milik Tentera Myanmar

12

21 FEB: Facebook hari ini menutup akaun halaman ‘Tatmadaw True News Information Team’ yang dikendalikan pasukan perkhidmatan maklumat junta tentera Myanmar ekoran kandungannya menggalakkan keganasan.

Jurucakap Facebook berkata, laman Pasukan Maklumat Berita Tepat Tatmadaw ditutup kerana melanggar Standard Komuniti ditetapkan khususnya menggalakkan keganasan dan kekejaman.

Memetik laporan AFP, gergasi media sosial itu menyekat ratusan halaman berkaitan tentera sejak beberapa tahun lalu, selepas dikritik kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap hantaran status jelik di negara itu.

Facebook turut menghapuskan akaun Ketua Junta, Min Aung Hlaing dan pemimpin tertinggi tentera Myanmar susulan siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan mereka didakwa bagi tuduhan keganasan pembunuhan beramai-ramai.

Media sosial terkemuka itu turut menyekat akaun kumpulan pemberontak di sempadan dan kumpulan sami Buddha yang dituduh menghasut keganasan terhadap umat Islam.

Terdahulu, kebanyakan kandungannya mensasarkan minoriti Islam etnik Rohingya menyebabkan kira-kira 750,000 etnik itu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh susulan tindakan kejam tentera pada tahun 2017.

Tentera Myanmar ketika ini meningkatkan tindakan kekerasan terhadap kempen bantahan rakyat besar-besaran yang mendesak pembebasan pemimpin digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Pemenang Hadiah Nobel tersebut ditahan bersama sekutu politiknya awal bulan ini namun rejim tentera menegaskan mereka mengambil alih kuasa secara sah.

Tentera menggunakan Facebook bagi mendakwa kemenangan pilihan raya Suu Kyi, November lalu, dicemari penipuan dan mengeluarkan amaran terhadap penunjuk perasaan yang mendesak tentera melepaskan kuasa.

Kebanyakan rakyat Myanmar membantah penggulingan Suu Kyi pada 1 Februari lalu dan mereka menyertai demonstrasi jalanan di bandar besar dan kawasan luar bandar.

Semalam, dua orang terbunuh apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai di pusat bandar Mandalay.

Junta tentera turut memotong liputan internet setiap malam dan menyekat platform media sosial termasuk Facebook dalam usaha menamatkan kempen penunjuk perasaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.