Agong Perkenan Isytihar Kuantan Sebagai Bandar Raya

26

21 FEB : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini perkenan mengisytiharkan Kuantan sebagai bandar raya.

Upacara istiadat pengisytiharan bermula dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menyerahkan Surat Cara Pemasyhuran Kuantan sebagai bandaraya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Rosdy Wan Ismail sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baginda kemudian berkenan menandatangani plak pemasyhuran Majlis Bandaraya Kuantan dan plak perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pengisytiharan itu turut menyaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dilantik sebagai Datuk Bandar Kuantan pertama.

Turut hadir sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan EXCO Pahang.

Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan diadakan susulan kelulusan diberi Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019 dan pemilihan 21 Februari dibuat selepas beberapa kali ditunda berikutan pelbagai faktor termasuk COVID-19.

Kuantan bertukar status dari bandar kepada perbandaran pada 1 September 1979.

Majlis pemasyhuran yang disambut secara sederhana hari ini menjadi detik bersejarah dan kebanggaan bagi warga Kuantan dan rakyat Pahang amnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.