3,297 kes baharu, 1,889 kes libatkan bukan warganegara

17

21 FEB : Jangkitan baharu COVID-19 hari ini meningkat kembali meningkat mencecah lebih 3,000 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 3, 297 kes baharu sehingga tengahari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan virus tersebut kini berjumlah 283,569 kes dan kes aktif pula adalah sebanyak 33,304 kes.

Bagaimanapun, daripada jumlah berkenaan, hampir 60 peratus kes baharu yang dikesan hari ini melibatkan bukan warganegara, manakala selebihnya adalah kes yang melibatkan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 1,402 kes melibatkan warganegara dan sebanyak 1,889 kes pula melibatkan bukan warganegara.

Jelasnya lagi, daripada 3,297 kes hari ini, sebanyak 3,291 kes merupakan kes jangkitan dalam negara manakala enam kes pula adalah kes import yang melibatkan lima warganegara dan satu bukan warganegara.

“Perak hari ini melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,215 kes (36.9 peratus). Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Perak berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Jalan Changkat Jong iaitu sebuah kluster tempat kerja yang melaporkan kes sebanyak 1,046 kes (86.1 peratus).

“Bilangan kes yang tinggi ini adalah susulan perluasan saringan di tempat kerja dan pengesanan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 868 kes (26.3 peratus) dan Johor sebanyak 431 kes (13.1 peratus).

“Sebanyak 124 kes (3.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (50 kes), Kluster Tembok Bendera (42 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (18 kes),” katanya menerusi kenyataan harian COVID-19 hari ini. 

Tambah Noor Hisham lagi, jumlah kes sembuh terus mengatasi jumlah kes jangkitan baharu apabila sebanyak 4,456 kes sembuh telah dilaporkan hari ini.

“Manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah sebanyak 209 kes manakala sebanyak 91 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat lima kes kematian hari ini yang melibatkan dua kes di Selangor dan Terengganu, serta satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebanyak empat  kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes pula bukan warganegara,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.