13,998 Warga Asing Jalani Ujian Saringan Semalam

19

21 FEB: Seramai 13,998 warga asing di negara ini telah menjalani ujian saringan semalam dengan 52 individu disahkan positif COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan sehingga semalam, seramai 426,923 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19.

Beliau berkata, ia membabitkan 20,752 majikan di seluruh negara.

“Daripada jumlah ini, seramai 7,778 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 419,145 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 1,449 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ujian saringan COVID-19 itu diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu.

Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 493 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 484 individu dikompaun manakala sembilan orang pula direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (133), tiada penjarakan fizikal (132), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (117), tidak memakai pelitup muka (70) dan aktiviti Pusat Hiburan (15)

“Selain itu, kesalahan yang turut dicatatkan iaitu premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13), keluar rumah tanpa alasan munasabah (5), aktiviti Sukan (2) dan lain-lain (6),” katanya.

Sementara itu, berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 17 buah kenderaan darat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 127,382 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 74 hotel dan 12 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Semalam, seramai 776 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Seramai 6,752 individu telah dikuarantin dan seramai 119,981 orang dibenarkan pulang manakala 649 lagi dibawa ke hospital, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.