Kecam, ketawakan guru sains DidikTV perbuatan buli siber

43

20 FEB: Tindakan sebahagian warganet mengecam dan mentertawakan penyampaian seorang guru sains semasa mengajar dalam bahasa Inggeris di saluran televisyen pendidikan DidikTV, merupakan satu perbuatan buli siber.

Perkara sedemikian ditegaskan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah sambil melahirkan rasa simpati terhadap guru wanita itu berkata.

Menurut Saifuddin, masyarakat seharusnya mengambil kira bahawa guru tersebut bukan seorang pelakon profesional, dan mungkin tidak pernah mengikuti latihan sebelum penggambaran bagi rakaman berkenaan dibuat.

“Beliau tidak patut ‘dibalun’ kerana hanya menjalankan tugas sebagai pendidik… saya juga beranggapan tidak sesuai jika Kementerian Pendidikan (KPM) diperlakukan (dikecam) sedemikian, kerana ini perkara yang baharu dimulakan dan sudah tentu ada kelemahan di sana sini.

“Kelemahan ini perlu difahami dan disusuli dengan usaha membaiki keadaan, bagi memastikan kandungannya lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Parlimen Indera Mahkota, di Pejabat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

Saifuddin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga bersedia menawarkan bantuan kepada KPM, dalam penyediaan kandungan DidikTV, memandangkan kementerian mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam aspek penggambaran.

Saifuddin juga mengulangi pendirian KKMM, bahawa satu akta anti buli siber perlu diwujudkan bagi menangani masalah tersebut, yang boleh menyebabkan mangsanya berdepan masalah seperti kemurungan, selain pernah berlaku kejadian bunuh diri yang dipercayai berpunca daripada buli siber.

“Kita tidak tahu jumlah mereka yang menjadi mangsa buli siber, kerana ramai yang tidak membuat laporan, sama ada kerana tidak tahu boleh membuat laporan atau berpendapat tidak ada tindakan yang boleh diambil jika membuat laporan. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana berpandangan begitu.

“Kita ada undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan, namun berkaitan dengan buli siber, kajian oleh KKMM dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) sebelum ini mendapati, lebih 80 peratus pengamal undang-undang berpendapat kita memerlukan undang-undang khusus bagi buli siber,” katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan, KKMM sedang menyiapkan kertas Kabinet untuk mendapatkan keputusan dasar, selain sudah memulakan draf awal rang undang-undang anti buli siber, supaya ia dapat dipercepatkan sebaik sahaja Parlimen mula bersidang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.