Isu suntikan vaksin penghuni pusat jagaan warga emas perlu ditangani

19

20 FEB: Pemberian vaksin COVID-19 kepada penghuni dan kakitangan di pusat jagaan warga emas adalah antara isu kritikal perlu ditangani segera di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sekali gus dapat mengurangkan kes kematian akibat jangkitan wabak itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata penyelesaian segera perlu kerana hampir 70 peratus daripada jumlah kematian akibat COVID-19 di negara ini, adalah dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Berikutan itu, katanya, kerajaan mengalu-alukan segala usaha daripada mana-mana pihak untuk meningkatkan kesedaran dan tahap penerimaan vaksin COVID-19 dalam kalangan kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan.

“Setiap kali berlaku jangkitan COVID-19 di pusat jagaan warga emas atau rumah jagaan kejururawatan, semua kakitangan dan penghuni perlu dikuarantin dan disaring, tetapi rutin jagaan harian masih perlu diteruskan.

“Kita tidak mampu mengambil sikap tunggu dan lihat kerana risiko jangkitan wabak di institusi penjagaan boleh berlaku dengan pantas hingga sukar dibendung, akibat faktor persekitaran tertutup dan kesukaran penjarakan fizikal serta pergerakan pekerja rentas premis penjagaan dan pusat kesihatan lain.

“Jika penularan wabak berlaku, bebanan dipikul pengendali institusi warga emas akan lebih teruk akibat kekurangan sumber, manakala petugas kesihatan dan keselamatan mungkin tidak mampu bertahan jika terus dihujani kes dan kluster baharu.

“Vaksinasi kakitangan dan penghuni kakitangan warga emas adalah satu usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan kita perlu mencapai muafakat dari segi mekanisme pelaksanaan yang paling berkesan dan cekap untuk semua pihak,” katanya ketika merasmikan Forum Nasional Pelan Vaksinasi untuk Kakitangan dan Penghuni Pusat Jagaan Berkediaman Warga Emas yang dianjurkan secara dalam talian, hari ini.

Antara ahli panel lain ialah, Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Siti Anom Ahmad serta Ketua Misi dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr. Jacqueline Lo Ying-Ru.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata program vaksinasi untuk 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas dan Orang Kurang Upaya (OKU) akan dijalankan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada April hingga Ogos depan.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya berharap forum berkenaan menjadi platform perkongsian perancangan kerajaan dan maklum balas pemilik, pengendali, kakitangan, penghuni dan ahli keluarga penghuni pusat jagaan warga emas serta rumah jagaan kejururawatan.

“Kerajaan mengalu-alukan bantuan WHO, Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), MyAgeing UPM dan mana-mana pihak berkepentingan bagi meningkatkan penerimaan vaksin dalam kalangan kakitangan dan penghuni pusat jagaan didiami warga emas,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.