ATM rangka pelan tindakan pengendalian vaksin

32

20 FEB: Bagi memastikan program imunisasi berjalan dengan lancar, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin yang bakal diterima.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya diberi kepercayaan penuh dalam membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkenaan.

“ATM berperanan kepada koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik seperti bantuan iring kawal pergerakan vaksin dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

“Wakil ATM juga ditempatkan bersama urus setia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Affendi, peranan ATM daripada segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran, penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.

“ATM juga sudah merangka pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan sebagai penerima vaksin berkenaan.

“Ini berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak ini,” katanya.

Menurutnya, melalui pelan tindakan dan pengurusan, proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.

“Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.

“Malah, pelan tindakan ini juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.