7,402 anggota bomba terima vaksin Covid-19 bagi fasa pertama

28

20 FEB – Seramai 7,402 anggota bomba seluruh negara akan terbabit menerima vaksin Covid-19 bagi fasa pertama.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, daripada jumlah itu, seramai 999 daripadanya adalah anggota yang bertugas di Sarawak, 945 (Selangor), 784 (Johor) dan 740 (Sabah).

“Keseluruhannya terdapat 15,000 anggota bomba di negara ini dan vaksin akan diberikan secara berperingkat.

ISMAIL

“Kita serahkan hal pemberian vaksin ini kepada Kementerian Kesihatan kerana mereka bertanggungjawab menentukan langkah seterusnya termasuk untuk pemberian fasa-fasa seterusnya nanti,” katanya ketika melawat Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Johor malam tadi.

Ismail berkata, pemberian vaksin berkenaan diharap dapat menyekat penularan Covid-19 sekali gus melindungi petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugas.

Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini esok sebelum pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan hujung bulan ini.

Fasa pertama pemberian vaksin ini yang berlangsung sehingga April membabitkan petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu

Fasa kedua pula bermula pada April sehingga Ogos membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi, seperti warga emas manakala fasa ketiga meliputi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan akan berlangsung dari Mei sehingga Februari 2022

Get real time updates directly on you device, subscribe now.