4,889 kes sembuh, Kes baharu kekal bawah 3,000

24

19 FEB : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan kes baharu jangkitan Covid19 adalah sebanyak 2,936 kes, menjadikan jumlah kes keseluruhan di Malaysia sebanyak 277,811 kes setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 36,797 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 17 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 2,919 kes.

“Selangor pula terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 978 kes (33.3 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 722 kes (73.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 730 kes (24.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 227 kes (7.7 peratus),” jelasnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, sebanyak 112 kes (3.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (64 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (17 kes), Kluster Tembok Bendera (14 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (6 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), Kluster DTI Sepang 2 (1 kes), dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes).

Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat pertambahan 13 kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1043 kes iaitu 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan enam kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tiga kes di Selangor, dua kes di Sarawak, serta masing-masing satu kes di Melaka dan Johor. Sebanyak 12 kes kematian melibatkan  warganegara dan satu kes melibatkan bukan warganegara.

“Sebanyak 4,889 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 di negara ini sebanyak 239,971 kes atau 86.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Tambah beliau, sehingga kini, terdapat 220 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 104 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.