PTK IPT Bakal Lahirkan Usahawan Kalangan Graduan, Pelajar

34

19 FEB: Bagi melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pelajar dan graduan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, PTK IPT yang dilancarkan ini mempunyai sasaran sehingga tahun 2025 dan dilaksanakan bagi mentransformasikan landskap keusahawanan di IPT daripada keusahawanan berasaskan keperluan kepada peluang.

“Tiga teras strategi utama digariskan dalam PTK IPT 2021-2025 itu ialah memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik; memperkasakan jaringan keusahawanan yang berimpak tinggi serta menekankan kepada keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi.

“Kerangka strategik ini akan membentuk ekosistem keusahawanan yang sinergistik antara keusahawanan, akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap pendidikan tinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada November lalu, , KPT dilaporkan sedang memuktamadkan PTK IPT 2021-2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi (EIE) dalam memperkasakan agenda keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Kedua-dua pelan tindakan itu akan menjadi garis panduan asas yang lebih tuntas dalam mengupayakan pembentukan ekosistem keusahawanan di IPT.

Dalam pada itu, Noraini memberitahu ketiga-tiga teras strategi tersebut akan diterjemahkan menerusi buku EIE.

“ Ia akan memberikan penekanan kepada pemantapan kurikulum keusahawanan di IPT melalui enam fokus utama.

“Penekanan itu melalui enam fokus utama iaitu Asas Pengetahuan Dalam Keusahawanan, Pengetahuan Dalam Keusahawanan Lanjutan, Pengetahuan Dalam Bidang Perniagaan, Aktiviti Tambahan Kurikulum Keusahawanan, Kemahiran Pembangunan Manusia dan Aperantis Keusahawanan,” katanya.

Noraini berkata, kedua-dua dokumen tersebut akan memandu arah IPT dalam melahirkan graduan yang holistik dan seimbang daripada aspek ilmu dan akhlak, bercirikan usahawan serta berupaya menjadi pemimpin cemerlang pada masa depan.

“Dua dokumen dasar ini merupakan panduan asas yang lebih tuntas dalam mengupayakan ekosistem keusahawanan di IPT termasuk dalam aspek kurikulum.

“Kedua-duanya saling melengkapi daripada aspek strategi dan juga fokus utama yang digariskan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.