Proton tawar empat model edisi khas

40

19 FEB: Bagi menawarkan lebih pilihan kepada pelanggan, Proton Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan empat model Edisi Khas terdiri daripada Proton Persona, Exora Edisi Hitam, Iriz R3 Edisi Terhad dan Saga R3 Edisi Khas.

Kesemua model Edisi Khas itu bagaimanapun masih mengekalkan enjin yang sama dengan model standard dengan 1.6L CVT (Persona), 1.6T CVT (Exora), 1.6L CVT (Iriz) dan 1.3L AT (Saga).

Keempat-empat model Proton Edisi Khas itu dijual pada harga RM54,700 (Persona Edisi Hitam), RM67,800 (Exora Edisi Hitam), RM52,900 (Iriz R3 Edisi Terhad) dan RM42,300 (Saga R3 Edisi Terhad).

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, model istimewa ini adalah pelancaran pertama untuk Proton bagi tahun 2021.

“Kami sentiasa mengambil kira maklum balas pelanggan dan menyedari mereka mahukan lebih banyak varian edisi khas dikeluarkan untuk pembelian kereta baharu.

“Ia juga bukti kemampuan Proton sebagai pengeluar kereta ‘servis-sepenuhnya’ yang boleh melakar, membuat dan membina kereta kita sendiri bermula daripada sekeping kertas kosong,” katanya pada pelancaran maya semalam.

Untuk model Persona dan Exora Edisi Hitam, kedua-keduanya diberi sentuhan kemasan luaran terutama pada gril dengan hiasan hitam dan emas pada bawah bampar hadapan dan belakang.

Ia dipadankan dengan rim aloi berwarna emas dan kemasan hitam pada bahagian atas lampu hadapan.

Ruang dalaman dengan gaya tempat duduk dan kemasan pintu baharu pada material kulit hitam mewah serta kemasan baharu untuk papan pemuka dan butang fungsi.

Exora turut dilengkapi dengan skrin paparan di bumbung dan penapis udara kabin N95.

Saga dan Iriz R3 Edisi Terhad dengan penawaran warna hitam dan kuning seperti Edisi Ulangtahun ke-35 yang diperkenalkan tahun lalu yang kini ditambah dengan kit badan, pelekat badan dan cermin hadapan serta belakang R3.

Selain itu, terdapat kemasan halus seperti lambang R3 pada penutup but dan pelekat tingkap juga ditawarkan.

Ruang dalaman tema R3 dengan sentuhan warna kuning pada panel tengah, kombinasi meter dan corong penyaman udara yang dipadankan dengan alas kaki khusus R3.

Tempat duduk dan roda stereng kulit dan logo R3 pada papan pemuka menyerlahkan lagi gaya kereta berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.