Polis tumpas sindiket jual dadah kegunaan parti liar

34

19 FEB : Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi kegunaan parti liar di Pulau Pinang selepas menahan sepasang kekasih di sebuah kondominium di Lebuh Sungai Pinang 2, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata pada jam 2.40 pagi, pihak polis melakukan tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 20 tahun di lobi sebuah kondominum dan menemui 15 peket hitam berisi dadah yang dicampur dengan jus minuman.

“Berpandukan pada maklumat suspek, polis menemui makmal dadah di tingkat lima kediaman tersebut yang turut membawa kepada penangkapan kekasihnya berusia 21 tahun.

“Kediaman ini yang disewa khas bagi membungkus dadah di dalam minuman campuran jus. Kami turut menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM77,318 di kediaman ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, hari ini.

Soffian memberitahu, hasil soal siasat, suspek mengaku bekerja sebagai penghantar dadah kepada pelanggan sekitar Pulau Pinang sebaik menerima arahan daripada ahli sindiket yang lain.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut juga mendapati sindiket itu akan mencampurkan dadah jenis methamphetamine dalam pelbagai minuman jus sebelum dijual kepada pelanggan yang membuat tempahan menerusi aplikasi WeChat.

“Satu peket jus minuman bercampur dadah itu dijual dengan harga RM180 dan suspek dikatakan mampu mengaut keuntungan RM800 setiap hari.

“Turut dirampas dalam serbuan itu pelbagai peralatan membungkus semula dadah, wang tunai RM1,100 serta sebuah kereta bernilai RM58,500 yang digunakan suspek untuk membuat penghantaran dadah,” katanya.

Sementara itu Soffian berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini didalangi beberapa individu yang mempunyai peranan masing-masing.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.