PM: Rakyat Malaysia bakal nikmati 5G akhir tahun ini

51

19 FEB: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangkakan rakyat negara ini bakal mula menikmati teknologi 5G secara berperingkat-peringkat di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Muhyiddin berkata, jangkaan itu akan menjadikan Malaysia sebagai antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.

“Teknologi 5G ini menjadi satu game-changer kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Hal ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju, tetapi lebih penting dari itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna, termasuk aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar dan aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian,” katanya ketika melancarkan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, semua syarikat telekomunikasi berlesen dijangka mendapat akses infrastruktur sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan.

“Perkongsian kos infrastruktur ini membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna.

“Keadaan ini akan melonjakkan penggunaan 5G dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata inisiatif MyDigital berhasrat memperkasakan setiap rakyat Malaysia, dari Perlis ke Sabah, untuk memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.

Perdana Menteri berkata, MyDigital merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan lebih mudah serta teratur.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil.

“MyDigital juga pelan hala tuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global dengan memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi mereka,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, penguasaan teknologi digital itu juga kunci untuk negara mengatasi batasan produktiviti, sekali gus menaiktaraf ekonomi Malaysia.

“Keupayaan untuk merebut peluang yang muncul daripada teknologi dan model perniagaan inovatif, akan memainkan peranan penting dalam memacu enjin baharu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.