PKP : Jumlah individu ingkar SOP menurun

20

19 FEB: Penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa dilihat membuahkan hasil apabila jumlah mereka ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin menurun.

Semalam, hanya seramai 443 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP termasuk 404 daripadanya dikompaun manakala 39 lagi individu
direman.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia
(PDRM) telah membuat 73,266 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP, semalam.

Beliau berkata seramai 3,603 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,571 anggota telah membuat pemantauan di 6,409 buah restoran, pasar raya (4,643), bank
(4,229), penjaja (2,379), pasar awam/tani (2,149), kilang (1,784) dan pejabat kerajaan (863).

“Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,547), tempat riadah (1,741), terminal pengangkutan darat (1,268), terminal pengangkutan air (276)
dan terminal pengangkutan udara (110).

“Semalam, seramai 443 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 404 dikompaun manakala 39 lagi individu direman.

“Antara kesalahan direkodkan tiada penjarakan fizikal (136); gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (84); rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (68); tidak memakai pelitup muka (64); premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (29); keluar rumah tanpa alasan munasabah (20); aktiviti perjudian (19); membawa penumpang berlebihan (15); dan ingkar arahan kuarantin (2) serta lain-lain (6),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa juga menahan 39 pendatang asing tanpa izin (PATI); merampas sebuah bot/kapal serta dua kenderaan darat dalam Ops Benteng di seluruh negara, semalam.

Dalam operasi itu, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa turut mengesan 118 bot/kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

Sementara itu, beliau juga mengesahkan seramai 1,416 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara, semalam.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 125,839 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 74 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,211 individu telah dikuarantin dan seramai 118,993 orang dibenarkan pulang manakala 635 lagi dibawa
ke hospital,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.